Pengorbanan Seorang Ayah


Indahnya alam ini yang terbentang luas. Dijadikan gunung ganang sebagai paku paku kepada bumi. Dijadikan pokok pokok yang hijau sebagai penampung kelansungan penghasilan oksigen di muka bumi ini. Djadikan air sebagai permulaan kepada sel sel yang ada di sekeliling alam. 

Alhamdulilah. Segala yang diciptakan adalah tanda ke kewujudan Tuhan yang satu, Allah S.W.T.  Bersyukur ke hadrat ilahi, dikurniakan nafas untuk bernafas dalam menghasilkan tulisan ni. Sungguh, setiap dugaan itu datang dari kekuasaan Allah S.W.T.  Banyak benda yang bermain difikiran yang hendak di kongsi bersama sebagai ingatan bersama.

Dikala kalam ini ditulis, sudah 8 bulan terasa kehilangan Ayahku yang dicintai pada 25 Julai 2018. Yang telah pergi menemui pencipta-Nya. Terasa kehilangannya bagai menusuk dihati ini. 

Ayah seorang insan yang membesarkan anaknya dari kecil hinggalah besar, tanpa mengira erti penat lelah dan kasih sayang. Setiap pengajaran, pelajaran, nasihat akan kekal di hati sanubari. Semasa aku sakit pada masa dahulu, ayah dan ibuku yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubatiku, dari perubatan tradisional hinggalah perubatan moden. Sungguh, tidak ternilai pengorbanan itu dengan wang ringgit. Dari situ lah, aku sedar betapa besarnya tanggungjawab seorang ayah dan ibu kepada anaknya. Tiada ungkapan yang dapat menggambarkan penat dan usaha yang dilakukan seorang ayah. Masih ingat pesanan ayahku semasa aku masih kecil.

" Jangan merokok " 

Pesanan inilah yang membuatkan aku tidak merokok. 

Teringat kala aku menulis ini bibit ucapannya. Sentiasa menghilangkan resah dihatiku. Walaupun ayah mempunyai masalah, tidak diceritakan kepada ku. Sentiasa berusaha untuk memastikan anak-anaknya sentiasa gembira

Ayah seorang yang rajin untuk membaca dan menulis. Masih ku simpan sebahagian penulisannya. Banyak buku buku di perpustakaan mini yang kami wujudkan di rumah. Ada kala, aku habiskan pembacaan beberapa buah buku yang ayahkan beli. Tersedar bahawa pemikiran yang matang, adalah datang dari didikan ayah yang berterusan.

Ayahku sentiasa berpesan kepadaku sejak aku meningkat remaja, yang mana aku nukilkan kata-katanya dalam blog ini. 
 Jaga diri, jangan lupa sembahyang.

Dari bibit-bibit ucapan itu, sembahyang itu lah penting bagi seorang muslim. Solat adalah tiang agama, tanpa kukuh tiang agama ini, amalan lain tidak diterima Allah S.W.T. Hisab pertama di alam barzakh adalah solat, itulah penentu segala amalan kita lakukan. 

Apabila meninggalnya anak adam, maka terputus lah segala amalan kecuali
- Doa anak-anak yang soleh
- Ilmu yang bermafaat
- Sedekah amal jariah

Semoga ayahku diberi rahmat dan berada bersama sama orang yang soleh.

Betullah, setiap pengembaraan ada penghujungnya. Setiap yang yang bernyawa pasti menemui pencipta-Nya, cuma bagaimana kita membuat persiapanya untuk menghadapinya.  

Setiap apa yang diajari ayahku menjadi pedoman untuk hidupku ini. Ingin sekali aku bertemu ayahku, memohon maaf dan membalas jasa jasa yang telah dicurahkan. Hanya kenangan yang menjadi memori difikiran.  Buat pembaca sekalian, hargailah Ayah dan Ibu anda. Hilangnya tiada ganti. - Hubungi mereka, bercakaplah dengan mereka, kerana jasa mereka tidak terbalas dengan sebarang ganti. Duit ringgit tiada nilainya, cuma masa diluangkan menjadi pengikat kasih sayang. 

Al-Fatihah buat ayahku, Azizi Bin Hashim.

Next PostNewer Post Previous PostOlder Post Home

0 comments:

Post a Comment